Bercuti di Labuan

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Pada 14 Julai 2012, saya telah pergi ke Labuan. Walaupun percutian singkat ini tidak dirancang, namun ianya memberikan saya satu tanggapan baru terhadap pulau Labuan setelah sekian lama tidak pergi ke sana.

Semasa saya kecil, Labuan boleh dianggap sebuah pulau bandar yang maju dan terkenal. Apabila Aidilfitri menjelang, penduduk sekitar Sabah, Sarawak dan Brunei berpusu-pusu ke Labuan untuk membeli-belah terutamanya kain untuk dibuat baju Melayu dan baju kurung.

Hingga satu tahap jika bot laju atau kapal ekpress penuh penumpang, kami sanggup merentas lautan menaiki bot nelayan kecil. Nasib baik apabila cuaca baik namun nasib akan kurang baik apabila cuaca tidak baik dan lautan bergelora.

Seingat saya, semasa kecil saya pernah pergi dua kali ke Labuan dalam keadaan laut yang bergelora. Ombak ganas melambung bot kecil kami, nenek mengikat badan saya menggunakan pelampung kecil dan menutup saya di bawah kanvas.

Namun, kali ini apabila saya ke Labuan, memang sedikit sebanyak menggamit memori. Tetapi, tanggapan saya kali ini tidak seperti yang saya selalu fikirkan. Dahulu Labuan adalah pusat perdagangan namun kedatangan saya kali ini melihat pulau ini agak lengang. Yang saya lihat hanyalah penduduk tempatan dan rata-rata pekerja industri minyak dan gas. Tidak ada pembangunan pesat membuatkan saya sedikit hampa juga. 

Berbalik pada cerita asal, percutian ini sebenarnya tidak dirancang. Saya diajak secara tiba-tiba oleh makcik untuk pergi bersama keluarganya bercuti ke Labuan sekadar untuk suka-suka.

Perjalanan dari kampung saya iaitu Kuala Lawas Sarawak ke Terminal Feri Menumbok Sabah mengambil masa kira-kira hampir tiga jam. Setibanya kami ke terminat, kami terus ke kaunter untuk membuat pembelian tiket bot laju. Untuk makluman, sebelum membuat pembelian tiket kita harus menunjukkan kad pengenalan. Harga tiket adalah RM20.00 sebelum 5.00pm dan selepas itu harga akan diturunkan kepada RM15.00 per kepala.

Sekitar jam 5.00pm, kami bertolak ke Labuan menaiki bot laju dengan muatan kira-kira 20 orang penumpang. Dari Menumbok ke Labuan pula mengambil masa sekitar 20 minit kerana keadaan cuaca pada waktu tersebut kurang mengizinkan bot laju dibawa dengan laju.

Setibanya kami ke Terminal Feri Antarabangsa Labuan, kami hanya berjalan kaki ke hotel Aifa untuk mendaftar masuk. Harga hotel hanyalah RM288.00 (kadar termurah) untuk penginapan satu malam.

Setelah urusan daftar masuk hotel selesai, kami terus menaiki teksi ke Ujana Kewangan untuk berjalan-jalan mencuci mata dan membeli-belah sedikit barangan. Kebetulan pada waktu tersebut hari sudah malam dan cuaca kurang baik, jadi keadaan dalam kompleks tersebut sedikit lengang. Setelah itu, kami pulang ke hotel untuk berehat seketika.

Usai berehat, kami tidak membuang masa terus pergi ke restoran Deepsea Seafood Centre untuk makan malam di mana restoran ini adalah antara yang terkenal di Labuan. Berpemandangan lautan nan luas, lokasi terletak di tepi kawasan pelabuhan kapal dan berkonsepkan restoran atas air, restoran ini sedikit sebanyak memberikan keseronokan berada di Labuan. Di restoran ini, pelbagai jenis menu menarik disediakan. Kami memesan tomyam seafood, ikan kerapu masak stim halia, udang goreng mentega, sotong goreng tepung dan sayur kangkung masak goreng belacan.

Keesokan hari, usai sarapan pagi kami terus mendaftar keluar hotel dan memulakan aktiviti membeli-belah barangan bebas cukai seperti coklat dan minyak wangi. Destinasi pertama kami adalah kedai Victoria Point. Tidak melepaskan peluang, kami mengambil kesempatan untuk memborong coklat dan minyak wangi bagai ianya tidak dijual di tempat lain. Seterusnya kami juga ada pergi ke beberapa buah kedai lain yang menjual barangan lebih murah daripada Victoria Point. Kami juga tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke butik Levi's kerana harga jeans di sana lebih murah daripada harga jeans yang dijual di butik Levi's Kota Kinabalu.

Setelah puas membeli-belah, kami singgah ke sebuah restoran untuk makan tengahari sebelum balik. Kemudian, kami terus pergi ke Terminal Feri Antarabangsa Labuan untuk membeli tiket balik. Harga tiket jualan pada waktu itu adalah RM15.00 per kepala.

Alhamdulillah, sekitar jam 6.00pm kami selamat tiba di kampung halaman. Sebelum mengakhiri entri ini, saya ingin berkongsi sedikit gambar-gambar kenangan semasa berada di Labuan.




















Apapun terima kasih saya ucapkan kepada kak Ogy (makcik muda yang dipanggil kakak) kerana sudi membawa saya bercuti ke Labuan setelah sekian lama tidak menjejakkan kaki ke sana.

Comments

Amirah. said…
wow bestnye ;)
Sophie said…
boleh tahan la, sbb lama dah tak pergi. cuma masa yg tak ngam sangat sbb musim hujan ;)
Anonymous said…
sorry nak tanya, sy baru 1st tyme nak ke labuan. flight will arrive to KK around jam 5, sempat x nak shoot ke labuan? what is the best route yea..? thanks in advance for ur advise =)

Popular posts from this blog

Perancangan Melancong ke Seoul Korea (Musim Luruh)

Tips Melancong ke Ho Chi Minh Vietnam